Wednesday 21 January 2015

IDEAL

Matlamat utama biara ini ialah untuk melatih golongan rahib berdasarkan kepada ajaran Sri Ramakrishna. Motto pertubuhan ini adalah आत्मनो मोक्षार्थम् जगद्धिताय च (Atmano Mokshartham Jagad Hitaya Ca) yang bermaksud kesedaran Diri dan khidmat kepada dunia sejagat.
Pemuda-pemuda yang ingin menyertai kehidupan rahib, perlu mengambil ikrar Brahmacharya dan menjalani latihan di bawah rahib-rahib kanan selama hampir sepuluh tahun. Seorang Brahmacharin yang berjaya menamatkan latihan ini akan diberikan ikrar Samnyasa sekiranya mematuhi semua kelayakan.
Antara aktiviti-aktiviti harian seorang rahib dalam Ramakrishna Math ialah seperti meditasi, Japa, pembelajaran kitab suci, disiplin rohani dan mematuhi dua ikrar Samnyasa iaitu kesucian dan kemiskinan. Selain itu, pelbagai aktiviti kebajikan dan perkhidmatan sosial juga menjadi sebahagian daripada disiplin keagamaan seorang rahib.
Berbeza daripada sami-sami Hindu lain, Persaudaraan Rahib Ramakrishna mempunyai beberapa ciri-ciri unik seperti berikut:

Tidak Bersifat Sektarian

Meskipun prinsip dan ideal kehidupan rahib tradisional seperti kesucian dan kemiskinan dipatuhi, persaudaraan ini mengamalkan fahaman yang luas. Seluruh sistem dan perkembangan agama dan rohani masyarakat Hindu diterima tanpa had. Malah, penganut-penganut daripada budaya asing dan agama lain juga diterima sebagai ahli. Sebenarnya, perkataan 'asing' sendiri adalah sesuatu yang asing dalam tradisi Ramakrishna-Vivekananda!

Disiplin rohani, pembelajaran dan pengajaran

Sankara menekankan bahawa pengikut-pengikutnya yang menjadi ketua biara mesti mengamalkan disiplin rohani (Tapas), pembelajaran untuk memperkembangan ilmu (Jnana) dalam kehidupan mereka dan melakukan lawatan (Pravasa) demi menyebarkan Dharma. Vivekananda juga telah menetapkan bahawa semua rahib-rahib Ramakrishna mesti mematuhi tradisi ini. Sejak penubuhannya, persaudaraan Ramakrishna telah cuba untuk mengekalkan tradisi mulia ini.

Kehidupan komuniti dan etika kerja

Rahib-rahib Hindu, kebiasaannya hidup bersendirian. Namun, rahib-rahib Ramakrishna hidup bersama-sama dalam biara mereka sebagai satu Sangha (pertubuhan). Ini mempunyai beberapa kelebihan seperti inspirasi yang diterima daripada pengaruh kerohanian sesama mereka; Kehidupan komuniti juga menjadi satu disiplin rohani yang dapat membantu perkembangan dan pembentukan keperibadian.

No comments:

Post a Comment