Wednesday 21 January 2015

PENTADBIRAN


Pada tahun 1901, Ramakrishna Math telah didaftarkan sebagai sebuah Amanah. Pentadbiran biara ini terletak di bawah Lembaga Pemegang Amanah yang terdiri daripada rahib-rahib kanan. Berpusat di Belur Math, pertubuhan ini mempunyai cawangan-cawangannya di serata India. Ia mempunyai peraturan pertubuhan yang telah digubal oleh Swami Vivekananda sendiri.
Lembaga Pemegang Amanah, selepas berunding dengan rahib-rahib kanan, melantik dalam kalangan mereka seorang Presiden, seorang hingga tiga orang Timbalan Presiden, seorang Setiausaha Am dan empat orang Penolong Setiausaha.
Presiden juga dikenali sebagai 'Sanghaguru' ialah ketua tertinggi seluruh pertubuhan ini. Hanya seorang Presiden sahaja layak untuk memberikan ikrar rahib atau Samnyasa kepada sesiapa yang ingin menjadi seorang rahib di Ramakrishna Sangha. Selain Presiden, semua Timbalan Presiden juga diberikuasa untuk memberikan Mantradiksha (mantera untuk menjalani kehidupan rohani).
Ramakrishna Mission pula ditadbir oleh Badan Pentadbiran yang terdiri daripada Pemegang Amanah Ramakrishna Math. Ibu pejabat Ramakrishna Math (lebih dikenali sebagai Belur Math) juga menjadi ibu pejabat Ramakrishna Mission.
Semua urusan persuratan berhubung perkara-perkara pentadbiran Math dan Mission adalah dialamatkan kepada Setiausaha Am yang berfungsi sebagai ketua eksekutif.
Ketua cawangan Ramakrishna Math dikenali sebagai Adhyaksha yang dilantik oleh Pemegang Amanah. Cawangan Ramakrishna Mission pula ditadbir oleh Jawatankuasa Pentadbiran yang dilantik oleh Badan Pentadbiran Ramakrishna Mission. Setiausaha Jawatankuasa ini menjadi ketua cawangan itu.

No comments:

Post a Comment